Pembangunan Dassault Super Mystère

Super Mystère mewakili langkah terakhir dalam evolusi yang mana telah bermula dengan pembangunan Dassault Ouragan dan berkembang melalui Mystère II/III dan Mystère IV. Meskipun versi terdahulu pesawat Mystère boleh mencapai kelajuan supersonik hanya semasa menjunam, Super Mystère boleh melepasi kelajuan bunyi semasa dalam penerbangan separas. Pencapaian ini disebabkan oleh penggunaan sayap baru yang nipis dengan sudut sapu 45° (dibandingkan dengan 41° sudut sapu pada pesawat Mystère IV dan 33° pada Mystère II) dan juga penggunaan enjin turbin jet yang dilengkapkan dengan pembakaran lanjut.

Prototaip pertama Super Mystère B.1, yang dijanakuasa oleh enjin Rolls-Royce Avon RA.7R, telah membuat penerbangan sulung pada 2 Mac, 1955. Pesawat ini memecahkan kelajuan bunyi dalam penerbangan separas pada hari berikutnya. Pesawat ini mula dikeluarkan pada 1957 dengan nama Super Mystère B.2. Versi pengeluaran adalah berbeza daripada prototaip dengan memiliki enjin SNECMA Atar 101G yang lebih berkuasa. Pada 1958, dua buah prototaip Super Mystère B.4 telah dibina. Pesawat ini telah dipasang dengan sayap sapu baru bersudut 48° dan enjin SNECMA Atar 9B yang lebih berkuasa. Pesawat ini mampu mencapai kelajuan Mach 1.4. Pengeluaran pesawat ini tidak dapat dibuat kerana pesawat Dassault Mirage III yang lebih laju mula memasuki perkhidmatan. Pada 1973, Tentera Udara Israel telah menaik taraf pesawat Super Mystère B.2 mereka dengan enjin Pratt & Whitney J52-P8A tanpa pembakar lanjut dan avionik terbaru.

Sejumlah 180 buah pesawat Super Mystère B.2 telah dibina.